suria

Bapa Dan Dua Anak Perempuan Ditahan Dipercayai Dera Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang bapa dan dua anak perempuannya yang dipercayai mendera pembantu rumah mereka warga Kemboja, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata ketiga-tiga suspek iaitu lelaki berumur 52 tahun dan anak-anaknya yang masing-masing berumur 23 dan 20 tahun ditahan di rumah mereka di Taman Sri Sinar, Segambut di sini kira-kira pukul 4 petang.

Mereka ditahan sebaik polis menerima aduan daripada jiran mereka yang terdengar jeritan mangsa.

Othman berkata pembantu rumah itu yang berusia 25 tahun mendakwa dipukul, ditampar dan disepak sehingga berdarah dan lebam.

"Kita telah hantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan kemudian akan menghantarnya ke sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Pertolongan Wanita," katanya.

Beliau berkata mangsa mula bekerja di rumah majikannya itu sejak Mei tahun lepas, bagaimanapun belum dapat memastikan bila penderaan mula berlaku.

"Kita akan siasat lanjut selepas mendapat penterjemah untuk membantu siasatan," katanya dan menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Lelaki itu dilaporkan tidak bekerja dan tinggal di rumah berkenaan bersama dua anak perempuannya itu.

Dalam kes lain, Othman berkata polis telah berjumpa menumpas sindiket mencuri kereta di Lembah Klang yang dikenali sebagai kumpulan "Ah Hong" yang bergiat aktif sejak tahun lepas, berikutan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur minggu lepas.

Dalam serbuan 27 Julai itu, polis turut merampas 17 kereta iaitu empat jenis Proton Wira, tujuh (Waja), sebuah (Kia), empat (Citra) dan sebuah van (Nissan). "Tujuan mereka mencuri kereta-kereta ini adalah untuk mendapatkan alat gantinya dan sasaran mereka adalah kereta-kereta tempatan,” katanya.

Othman berkata ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 35 hingga 41 tahun.

Beliau percaya kumpulan itu telah mencuri lebih daripada 30 buah kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Akta Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain