suria

Warga Emas Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Hangus Dijilat Api

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang warga emas untuk membuat persiapan hari raya dengan menggunakan wang zakat dan pampasan kemalangan yang diterimanya minggu lepas tidak kesampaian setelah rumah yang didudukinya di Kampung Sedang, Bukit Tunggal, hangus terbakar malam tadi.

Nik Fatimah Embong, 62, yang tinggal bersama empat anak berusia antara 21 dan 30 tahun serta empat cucu berusia dua bulan hingga tiga tahun, dilaporkan menghidupkan api pelita untuk mengaji al-Quran di salah sebuah bilik di rumah itu kira-kira 8.30 malam.

Bagaimanapun api pelita itu secara tiba-tiba terpercik sebelum menyambar papan lantai rumah dan marak dengan cepat.

"Saya cuba memadam api dengan mengambil kain langsir, bagaimanapun tidak berjaya malah menyebabkan api semakin marak," katanya kepada pemberita di tapak rumahnya di sini Rabu.

Melihat keadaan itu, Nik Fatimah berkata dia terus merangkak keluar dari bilik dan memanggil anak serta cucunya yang berada di ruang tamu ketika itu.

"Saya sedih kehilangan segala yang kami miliki termasuk harta benda dan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, tetapi bersyukur kesemua anak dan cucu selamat," katanya.

Walaupun rumahnya mempunyai bekalan elektrik, wanita itu berkata beliau lebih selesa menggunakan pelita untuk mengaji al-Quran dalam bilik tidurnya itu.

Akibat kebakaran itu, dia kini tinggal sehelai sepinggang dan mengalami kerugian kira-kira RM200,000 termasuk duit zakat RM350 dan duit pampasan RM3,000 yang baru diterimanya.

Sementara Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohamad Kassim yang dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tentang kejadian itu pada jam 8.35 malam.

Katanya empat jentera bersama 22 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.

Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat namun tidak menolak kemungkinan api pelita yang dipasang di salah sebuah bilik di rumah itu sebagai penyebabnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain