suria

Pos Malaysia, Indonesia Keluarkan Koleksi Setem

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan bekerjasama dengan Pos Indonesia, mengeluarkan koleksi setem isu khas bersama dan sampul surat hari pertama dalam usaha meningkatkan kesedaran dan persefahaman tentang keunikan kedua-dua negara berjiran.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata setem dan sampul surat pertama, termasuk produk-produk lain seperti folder setem, boleh mendapatkannya di semua pejabat Pos Malaysia bermula 8 Ogos ini.

Kedua-dua negara menyediakan empat rekaan iaitu tugu peringatan, mata wang pertama, setem pertama yang dikeluarkan selepas kemerdekaan serta burung-burung yang unik bagi kedua-dua negara.

"Pos Malaysia telah mencetak 1.2 juta setem untuk dijual pada harga 90 sen setiap satu, 30,000 sampul surat hari pertama pada harga 50 sen setiap satu dan 1,100 folder pula dijual pada harga RM5.50," kata Yasmin pada prebiu khas media tentang setem itu di sini Rabu.

Pos Malaysia juga akan menjual edisi khas sampul surat pertama, mengandungi satu sampul surat dan empat setem berlainan. Set itu hanya boleh didapati pada 8 Ogos dan berharga RM20.40 setiap set.

Yasmin menasihatkan pengumpul setem agar membuka Akaun Pesanan Tetap (Soda) untuk menikmati kemudahan menerima setem dan produk filateli lain tanpa perlu beratur panjang di pejabat pos.

Di samping itu, pelanggan kini boleh menikmati kemudahan Filateli Online di www.posonline.com.my untuk membuka akaun Soda, menambah wang dan menyemak baki akaun serta mengemas kini butiran peribadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain