KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan dakwaan wujudnya rundingan sulit membabitkan pemimpin utama parti itu bagi mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerajui pakatan pembangkang hanyalah 'serkap jarang'.Malah parti itu sekali lagi menafikan sebarang penglibatan mereka dalam isu tersebut. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu untuk mencari pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang masih belum berbangkit kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu masih lagi memegang jawatan berkenaan."Isu yang diperkatakan sekarang sebenarnya tidak berbangkit sama sekali kerana tidak pernah berlaku perkara-perkara seumpama itu," katanya pada sidang media di sini, Khamis.Beliau mengulas mengenai kontroversi dakwaan Ahli Parlimen bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan bahawa Tengku Razaleigh sebenarnya telah dipelawa untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang sekiranya Anwar disabit dengan kes liwat yang sedang dihadapinya ketika ini.Menurut Zahrain, pucuk pimpinan pembangkang termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menemui Tengku Razaleigh baru-baru ini bagi membincangkan perkara tersebut.Ditanya sama Pakatan Rakyat mengambil langkah persediaan sekiranya Anwar benar-benar didapati bersalah dalam kes berkenaan, Mustafa berkata perkara tersebut tidak relevan buat masa ini."Masa Anwar kena gantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan baru-baru ini pun kita tidak cari pengganti," ujarnya.Dalam pada itu, Mustafa mendakwa kontroversi itu sengaja dimainkan bagi menutup krisis dalaman yang sedang dihadapi oleh Umno.Menurut Mustafa, beliau menerima maklumat bahawa wujud gerakan di kalangan pemimpin utama Umno bagi menggesa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri."Mereka nak alih perhatian mengenai konflik dalaman Umno yang agak serius."Gerakan ini dibuat kerana mereka melihat Najib sebagi liabiliti kepada BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya sambil mengakui bahawa perdana menteri sendiri menyedari mengenai perkara ini.Bagaimanapun Mustafa enggan mendedahkan mengenai 'gerakan' dalaman yang dimaksudkannya itu.Ditanya sama ada dakwaannya itu dibuat hanya sebagai perang saraf bagi 'menyerang' semula Umno, Mustafa dengan pasti berkata gerakan tersebut benar-benar wujud."Ini bukan perang saraf kerana ia betul-betul berlaku," katanya lagi.