suria

TM, Google Tawar Penyelesaian Pemasaran Dalam Talian Untuk PKS

KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa, Telekom Malaysia Bhd (TM) menjalin usaha sama dengan Google untuk menawarkan penyelesaian pemasaran kepada pelanggan PKS.

Naib Presiden Eksekutif TM bagi PKS Azizi A. Hadi berkata usaha sama itu bakal menyaksikan TM menawarkan platform pengiklanan carian Google dan perkhidmatan Google AdWords kepada para pelanggan PKS tempatan.

TM kini mempunyai kira-kira 68,000 pelanggan jalur lebar dalam kategori penyelesaian perniagaan, yang mempunyai hak dalam usaha sama itu, katanya.

Google AdWords ialah perkhidmatan yang membolehkan perniagaan membuat iklan dan menyiarkannya segera menerusi laman Google serta laman web rakan Google.

AdWords menggunakan model bayar-setiap-klik yang bermakna pengiklan hanya membayar apabila iklan diklik.

"Kami tidak menjangkakan memperoleh pendapatan atau meluasakan asas pelanggan PKS kami menerusi usaha sama ini. Ia merupakan sebahagian daripada program kesetiaan bagi membatu pelanggan PKS memasukkan iklan secara dalam talian," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian usaha sama dengan Google di sini Selasa.

Menerusi usaha sama selama setahun ini, pelanggan PKS pilihan TM akan menerima kupon pemasaran Google AdWords bernilai antara RM150 dan RM500, untuk memulakan kempen pemasaran dalam talian sebagai ganjaran terhadap kesetiaan mereka kepada TM, kata Azizi.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Negara Google Inc Sajith Sivanandan berkata perniagaan tempatan berpotensi besar untuk memasarkan produk ke peringkat dunia menerusi bantuan perkakasan, capaian dan kepakaran Google.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk meningkatkan capaian kepada komuniti PKS supaya menggunakan kemudahan dalam talian, serta menyumbang kepada ekonomi negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain