suria

Perak Kaji Semula Fungsi PKNP

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mengkaji semula fungsi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi memastikan agensi itu terus kompetitif dan mampu bersaing dalam persekitaran baru, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Selasa.

Beliau berkata sebuah firma juruaudit dan juru perunding terbesar dunia, Ernst & Young telah dilantik bagi melihat semula kedudukan anak syarikat kerajaan negeri yang telah ditubuhkan pada tahun 1967 itu.

"Untuk melihat semula fungsi PKNP, kerajaan negeri telah mengarahkan Ernst & Young untuk membuat kajian bagi melihat kedudukannya pada hari ini sama ada ia masih sesuai.

"Ataupun ia memerlukan anjakan baru demi memastikan PKNP sentiasa dalam keadaan baik dan mampu menjadi agensi yang memberi pulangan keuntungan serta menjadi sebuah institusi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat dari Ernst & Young di pejabatnya di sini.

Zambry berkata dari laporan awal yang dibentangkan, Ernst & Young memaklumkan PKNP memerlukan hala tuju yang strategik dan jelas serta memerlukan penambahbaikan dari segi pencapaian dan pelaksanaan.

Beliau berkata struktur kewujudan badan itu pada masa ini perlu dilihat semula kerana ia memerlukan anjakan tidak seperti semasa penubuhannya sekitar 43 tahun dahulu kerana suasana masa kini lebih kompetitif.

"PKNP perlu bersedia bersaing dalam persekitaran pembangunan dan sosio-ekonomi baru pada masa ini. Di dalam mana-mana organisasi ia perlu dikaji dan dilihat semula selepas beberapa kitaran bagi memastikan fungsinya relevan," katanya.

Zambry yang juga Pengerusi PKNP berkata usaha yang dibuat itu adalah langkah komprehensif bagi memastikan anak-anak syarikat kerajaan negeri sentiasa berada di landasan yang baik. - BERNAMA

Artikel Lain