suria

Peguam Mengaku Tidak Salah Pecah Amanah

SHAH ALAM: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan jumlah hampir RM1 juta, lima tahun lalu.

Rakhim A. Hamid, 39, didakwa melakukan kesalahan itu antara 16 Disember 2005 dan 15 Februari 2006 di Pejabat Rakhim Hamid & Co, di Jalan Pandan Indah 4/1, Pandan Indah, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wang RM950,000 yang diamanahkan kepadanya sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian lapan lot tanah di Kepong Baru, Kuala Lumpur.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Hakim Mohd Fadhir Harun membenarkan tertuduh yang diwakili oleh peguam Nasir Aziz dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 8 September ini.

Artikel Lain