suria

Nik Aziz Nafi Hidap Kanser Tetapi Akui Ada Masalah Jantung

KOTA BARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau menghidap penyakit kanser seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tetapi mengesahkan menghadapi masalah saluran jantung tersumbat yang membatasi pergerakan hariannya.

"Kesihatan saya tak ada apa. Dakwaan itu tak betul... mengarut saja. Saya hanya (hadapi masalah) ada tiga saluran jantung yang tersumbat.

"Cuma dalam rawatan saya terbaru di hospital tiga bulan sekali, saya tanya doktor di musim durian begini kolesterol saya tak tinggi, saya pun pelik," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Rabu.

Portal berkenaan, www.kelatekito.net dilapor menyebut keadaan kesihatan Nik Aziz semakin serius di mana beliau dikatakan disahkan menghidap sejenis barah.

Laporan itu juga menyebut, masalah kesihatan Nik Aziz itu telah disahkan oleh sekumpulan pakar yang merawatnya ketika dimasukkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa hari sebelum berlangsungnya Ijtimak Pilihan Raya Pas Kelantan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, yang mencabarnya supaya membuat kenyataan terbuka menafikan pertemuannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung isu mempelawa anggota Parlimen Gua Musang itu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, Nik Aziz enggan mengulas lanjut sambil menyifatkan Zahrain sebagai "sampah".

"Dia tak kenal saya, saya tak kenal dia, orang yang lompat macam ini seperti sampah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain