suria

Dua Beradik Antara 38 Pegawai Kanan Tentera Darat Dinaikkan Pangkat

KUALA LUMPUR: Dua beradik dan seorang doktor wanita yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Pusat Pergigian Angkatan Tentera Darat adalah antara 38 pegawai kanan tentera darat yang dinaikkan pangkat dalam satu majlis pemakaian pangkat pada Selasa.

Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin di Wisma Transit, di sini Selasa.

Mejar Muhamad Aizad Che Mad yang dinaikkan pangkat Lt. Kolonel sebagai Pegawai Memerintah 3 Kor Amor Diraja berkata kenaikan pangkat itu sekaligus memberikannya dorongan untuk bekerja dengan lebih gigih bagi memantapkan organisasi.

"Saya rasa terharu. Terima kasih kepada pucuk pimpinan tentera darat yang telah memberi keyakinan kepada kami untuk menjalankan tugas sebagai seorang pegawai pemerintah pada tempat yang telah ditetapkan. Rezeki berganda apabila adik saya, yang sama-sama turut serta menyertai tentera darat, juga menerima kenaikan pangkat pada hari ini," katanya.

Bagi adiknya, Mejar Mohammad Razeif yang juga dinaikkan pangkat Lt. Kolonel sebagai Pegawai Memerintah 2 Kor Armor Diraja, tanggungjawab dan amanah yang diberikan akan dibalas dengan komitmen yang tinggi olehnya.

"Saya bersyukur atas kenaikan pangkat ini dan ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan. Saya janji akan jalankan tugas dengan sebaik mungkin dan penuh komitmen," kata dua beradik ini yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Pakar Ortodontik Lt. Kolonel Dr Mumtaj Nisah Abd Rahim, 31, yang sebelum ini bergelar Mejar dan kini dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Pusat Pergigian Angkatan Tentera Darat, menjadikan kenaikan pangkat itu sebagai satu cabaran baru yang harus digalas dengan baik.

"Saya berasa gembira dan teruja di atas penganugerahan pangkat ini...saya perlu berusaha lebih lagi bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik di masa akan datang di samping memastikan senarai menunggu untuk rawatan Ortodontik berjaya dilaksanakan terutamanya untuk mereka yang benar-benar layak," katanya.

Bagi Mejar Jen Datuk Zulkiple Kassim yang kini bergelar Lt.Kolonel dan sebagai Panglima Medan Tentera Darat, kenaikan pangkat itu berjalan seiring dengan cabaran besar yang menunggunya di hadapan.

"Saya merasakan bahawa beban tugas yang mencabar telah menunggu di hadapan. Ini kerana ia merangkumi pengawasan operasi bagi seluruh negara. Kita punya banyak operasi yang sedang berjalan dan perlu diurus, diselia dan juga dipantau.

"Saya kira itu satu cabaran pada saya dan juga pada segi keanggotaan kerana tentera darat ini, seperti yang kita tahu ia mempunyai lebih 80,000 anggota. Salah satu aspek yang perlu difokus adalah menentukan anggota-anggota ini diberi keselesaan dari segi institusi kekeluargaan keseluruhan mereka mahupun pelaksanan tugas," katanya.

Pada keseluruhannya kenaikan pangkat 38 pegawai kanan ini melibatkan kenaikan Mejar Jeneral ke Lt Jeneral (seorang), Brig. Jeneral ke Mejar Jeneral (seorang), Kolonel ke Brig.Jeneral (dua orang), Lt Kolonel ke Kolonel (dua orang), Mejar ke Lt Kolonel (Ikhtisas) (dua orang), Mejar ke Lt Kolonel (18 orang) dan Mejar ke Lt Kolonel (Fleksi) seramai 12 orang. - BERNAMA

Artikel Lain