suria

Sekolah, IPT Perlu Didedah Kepada OSH - Niosh

SHAH ALAM: Semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini perlu didedahkan kepada aspek latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi memastikan mereka bersedia jika berdepan dengan kemalangan atau kecemasan. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata sekolah dan IPT juga terdedah kepada risiko kemalangan seperti penggunaan bahan kimia berbahaya di makmal sains dan ujikaji.

"Pensyarah, guru-guru, pelajar, murid-murid serta warga kerja yang terbabit perlu diberi pendedahan mengenai OSH dalam usaha kita mengurangkan kemalangan di tempat kerja," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Niosh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Selasa. MoU antara Niosh dan UiTM itu masing-masing diwakili Pengarah Eksekutif Niosh Rosli Hussin dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, bagi menjalinkan kerjasama dalam akademik dan penyelidikan (Higen Industri dan Keselamatan) membabitkan Fakulti Sains Gunaan UiTM.

Sahol Hamid berkata usahasama yang telah dikenalpasti dengan Niosh termasuklah membangunkan program akademik di peringkat Diploma, Ijazah dan Sarjana melalui penawaran kursus dalam pengajian sepenuh masa, kursus jangka pendek atau penganjuran seminar. -BERNAMA

Artikel Lain