suria

Portal 1MPB Bantu Pengguna Buat Keputusan Pembelian

KUALA LUMPUR: Afifah Aziz kebiasaannya melayari portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) tiga kali seminggu untuk mencari pasar raya di kawasan Subang Jaya yang menawarkan harga termurah bagi barang rumah dan barang penjagaan diri.

Kerani am di sebuah syarikat telekomunikasi swasta ini akan menjadikan portal www.1Pengguna.com sebagai rujukan sebelum membuat keputusan pembelian dengan membandingkan harga barangan yang ditawarkan di pasar raya di sekitar Subang Jaya di mana beliau menetap.

"Saya tengok senarai harga dan bandingkan harga, baru saya akan pergi ke pasar raya yang jual barangan termurah," katanya, yang juga tertarik dengan dengan maklumat mengenai hak pengguna yang terdapat dalam portal berkenaan.

Seorang lagi pengguna portal, Christina Ulau Lian turut sependapat dengan Afifah bahawa portal berkenaan dapat membantu pengguna melihat senarai harga barangan terpilih selain dapat membuat perbandingan harga sesuatu barangan.

"Bolehlah bantu pengguna untuk menganggarkan bajet yang harus dikeluarkan bila berkunjung ke pasar raya," kata Christina.

Kerani berusia 25 tahun itu bagaimanapun berharap jumlah premis perniagaan yang terlibat dikemas kini di dalam portal berkenaan bagi mengetahui status kewujudan mereka.

Portal kepenggunaan berkenaan diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDKK) sejak Jun lepas yng bertujuan memudahkan pengguna menyemak senarai harga barangan keperluan dengan harga barangan yang dijual di 1,255 premis perniagaan di seluruh negara.

Premis perniagaan yang terlibat dengan portal berkenaan ialah 110 buah hiper market, 404 pasar raya, 360 pasar basah dan 381 Kedai Serbaneka 24 Jam.

Portal berkenaan dipantau oleh 1,200 pegawai pemantau harga (PPH) daripada KPDNKK bagi memastikan peniaga yang mengambil bahagian menjual barangan mereka pada harga yang berpatutan.

Ia juga bertindak sebagai saluran alternatif pengguna untuk membincangkan isu-isu kepenggunaan melalui ruangan interaktif seperti forum, blog, laman sembang dan soal jawab bersama menteri berkenaan.

Setiausaha Kerja Pengguna Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan portal berkenaan sebagai satu kemudahan kerajaan yang perlu dimanfaatkan oleh pengguna bagi memastikan hak-hak mereka sebagai pengguna terjamin.

"Masa ini, mereka perlu membuat interaksi kepada kerajaan dengan menyalurkan segala cadangan dan maklum balas.

"Ini kerana kerajaan memerlukan maklumat sahih daripada rakyat sebelum membuat sebarang penambahbaikan," katanya.

Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia (PPPPM), M. Baratharajoo pula mahu portal itu turut menyenaraikan kedai runcit yang kebanyakannya beroperasi di luar bandar.

"Adalah tidak adil sekiranya pihak kementerian hanya memasukkan pasar raya besar sahaja (di dalam portal) kerana kebanyakan pasar raya besar beroperasi di bandar-bandar utama sahaja," katanya.

Beliau pada masa yang sama turut meminta KPDNKK untuk menyelaraskan harga barangan keperluan yang tidak seimbang antara bandar dan luar bandar bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang melampau. -BERNAMA

Artikel Lain