suria

PLPM Jalin Kerjasama Dengan UNDP Bangunkan Modul Latihan - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Pusat Latihan Pengaman Malaysia (PLPM) kini bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) membangunkan modul baru latihan untuk pasukan pengaman dari Malaysia, Asia dan Afrika pada masa depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul itu bagi memenuhi keperluan yang meliputi hak asasi manusia, penyelarasan antara tentera dan orang awam, menangani keganasan seksual dan isu gender di kawasan berkenaan.

"Projek ini yang dinamakan projek UNDP-Mindef dilaksana berdasarkan pembangunan keupayaan menerusi peranan Malaysia dalam latihan mengawal keamanan, dan ia dibiayai dengan sumbangan dari kerajaan Jepun.

"Saya harap Duta Jepun (ke Malaysia) Shijeru Nakamura dapat menyampaikan penghargaan saya kepada kerajaan Jepun atas dana RM1 juta yang disalur kepada UNDP bagi merealisasikan projek ini," katanya berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini, Selasa.

Ahmad Zahid berkata hubungan pertahanan dua hala Malaysia dan Jepun tetap mesra sekalipun tanpa ikatan rasmi, dan beliau berharap projek itu akan menjadi nilai tambah kepada hubungan sedia ada antara kedua-dua negara. "Saya berharap selepas projek ini selesai, pelaksanaan seperti latihan dan penyelidikan akan berterusan di PLPM bagi menjadikannya pusat latihan pengaman serantau yang cemerlang," katanya.

Sementara itu, Shigeru berkata negaranya mahu membangun dan mengukuhkan penyelarasan operasi pengaman antara Malaysia, Jepun dan UNDP.

"Pada masa yang sama Jepun juga menumpukan kepada usaha membangunkan keupayaan dengan menghantar pakar ke sini dan kami mahu terus berbuat demikian dengan sokongan anda," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain