suria

PAS Selangor Mahu Pembahagian Kerusi Dinilai Semula – Abdul Rani

PETALING JAYA: PAS Selangor mahu pembahagian kerusi Parlimen itu dinilai semula oleh pimpinan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Abdul Rani Osman berkata, cadangan supaya pembahagian kerusi PR dinilai semula tidak bermakna parti itu mahu kerusi tambahan di Selangor.

“Cadangan ini tidak bermakna PAS Selangor mahu kerusi yang lebih pada pilihan raya nanti. Sebaliknya ia adalah satu usaha murni yang akan mengeratkan hubungan PR kerana setiap parti akan ada wakil di setiap kawasan Parlimen di Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri 1, Iskandar A. Samad yang mahu PR Selangor meletakkan calon di setiap kawasan Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Iskandar yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan berkata cadangan tersebut perlu dilaksanakan bagi membuktikan PR tidak mengamalkan politik perkauman dalam soal pembahagian kerusi yang kini dibuat mengikut parti tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru berkata, perkara tersebut juga akan memberikan imej yang lebih baik kepada PR kerana mempunyai calon pelbagai kaum walaupun di kawasan majoriti kaum Cina.

“Kita perlu buang imej politik perkauman, rakyat mahukan perubahan. Justeru cadangan ini sekiranya diterima akan menjadi batu loncatan kepada usaha memenangi lebih banyak kerusi di Selangor sekaligus mempertahankan pemerintahan PR.

“Sekiranya satu kawasan Parlimen itu mempunyai majoriti pengundi Cina, tidak ada masalah untuk kita letak calon daripada PAS atau PKR, yang lebih utama adalah kemampuan calon tersebut untuk menang dan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS bertanding di 4 kerusi Parlimen dan memenangi keempat-empat kerusi tersebut dan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri dan menang lapan kerusi.

Artikel Lain