suria

Kolej Poly-Tech Mara Sedia Kemudahan Bayaran Ansuran Pengajian

KUALA LUMPUR: Pelajar kurang mampu yang ditawarkan tempat di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan diberi kelonggaran untuk membuat bayaran ansuran pengajian mereka.

Presiden KPTM Datuk Yusoff Harun berkata pihak kolej akan turut membantu pelajar untuk mendapat pinjaman daripada institusi seperti Mara.

"Kalau pelajar tidak mampu, kita akan bagi 100 peratus bantuan melalui pelbagai cara. Jika yuran pengajian sebanyak RM1,000, pelajar terlebih dahulu boleh membayar sebanyak RM200 dan terus mula belajar," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

KPTM menawarkan pelbagai program dari peringkat sijil hingga Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang yang memenuhi kehendak industri semasa.

Beliau berkata jumlah kemasukan pelajar bagi sesi Julai 2011 adalah seramai 5,420 orang melepasi sasaran 5,320 pelajar. Peningkatan jumlah kemasukan pelajar didorong oleh pencapaian kolej itu dalam penarafan ISO 9001:2008 dan anugerah The Malaysian Service Excellence Award, katanya.

"KPTM dilihat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta bumiputera yang mengamalkan pengurusan, pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti untuk pelajarnya.

"Di samping itu kita turut memastikan dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian di kolej ini, sebanyak 80 peratus pelajar akan mendapat tempat dalam industri sama ada menyambung pengajian atau bekerja," katanya.

Yusoff turut memaklumkan bahawa prestasi akademik pelajar yang mencapai purata nilai gred 3.5 peratus ke atas di semua sembilan kolej tersebut meningkat lebih 10 peratus. -BERNAMA

Artikel Lain