suria

Hishamuddin Umum Pembebasan Tujuh Pegawai Imigresen

PUTRAJAYA: Tujuh pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan tahun lepas kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia di negara ini, akan dibebaskan mulai Selasa

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin berkata, pembebasan mereka akan dilakukan secara berperingkat, dan buat permulaan, tiga akan dibebaskan esok dan selebihnya dalam tempoh terdekat.

"Pembebasan ini dibuat setelah kementerian mendapati bahawa semua tahanan ini menunjukkan kesedaran dan keinsafan atas kesilapan yang mereka lakukan dan berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa depan.

"Mereka juga memberikan kerjasama yang baik kepada Polis Diraja Malaysia dalam usaha untuk memerangi kegiatan penyeludupan manusia di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hishammudidin berkata tujuh pegawai itu ditahan antara 10 dan 12 Oktober tahun lepas mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 selaras dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

Ia juga bagi membolehkan siasatan lanjut dan menyeluruh dibuat khususnya terhadap kegiatan sindiket penyeludupan warga asing dan urusan keluar dan masuk dari negara ini, katanya.

Hishammuddin berkata pihak berkuasa di Malaysia akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang sebarang usaha untuk menjadikan negara ini sebagai 'transit point' bagi kegiatan penyeludupan manusia.

Beliau juga mengingatkan pegawai serta kakitangan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan di pintu masuk negara agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Jangan sesekali bertindak mengkhianati negara ini semata-mata ingin mengejar kemewahan hidup. (Kerajaan) tidak bertolak-ansur ke atas mereka yang mengkhianati amanah negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain