suria

Wajah Gembira Norman, Memey Selepas Dibebaskan

PASANGAN yang bakal diraikan pada wedding of the year 2011, Norman Hakim dan Memey Suhaiza sudah boleh menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat yang membelenggu hidup mereka sejak tiga tahun lalu.

Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah Norman dan Memey yang tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur, apatah lagi keputusan itu diterima kira-kira dua bulan sebelum perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung pada 24 September ini.

Kini mereka bolehlah bersanding dalam keadaan minda yang tenang, jauh daripada segala gundah-gulana, keluh-kesah, sedu-sedan dan seumpamanya telah lama bersarang di sanubari.

Pada penulis, keputusan itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah atau mungkin lebih tinggi daripada semua hadiah yang diterima, temasuklah penajaan RM12 juta yang diterima bakal mempelai berkenaan.

Siapa yang boleh melupakan bagaimana kecohnya dunia seni dengan berita penangkapan pasangan itu, apatah lagi pada waktu itu isteri Norman, Abby Abadi (kini bergelar bekas) baru sahaja melahirkan anak ketiga mereka.

Tidak lama selepas itu, Abby memfailkan permohonan untuk bercerai, dan sudah pasti semua masih mengingati bagaimana pelakon wanita itu menyerbu lokasi penggambaran untuk menyerahkan saman mahkamah itu kepada Norman.

Akhirnya, perkahwinan Norman-Abby yang dibina pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, terlerai pada 18 Disember 2008.

Apapun, penulis masih ada rasa hormat pada Norman dan Memey kerana kedua-dua tidak pernah berdolak-dalih dalam hubungan mereka, malah secara terang-terangan mengakuinya, berbeza dengan sesetengah yang lebih suka berdolak-dalik, meskipun perkara itu sudah terang dan nyata.

Setelah tiga tahun naik turun mahkamah, perjalanan mereka mendapat pengakhiran yang gembira, apabila Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim pada Jumaat, melepas dan membebaskan mereka tanpa memanggil pasangan itu untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas beliau yang mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan, termasuk abang kepada Norman, Mohamed Sophee (selaku saksi pendakwaan keempat) mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Ertinya, jika Norman dan Memey memilih untuk berdiam diri, mahkamah tidak dapat mensabitkan mereka bersalah tanpa ragu-ragu.

Mereka sebelum ini didakwa berkhalwat pada pada antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-A1, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.

Pada penghakimannya, Salehan berkata, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa Norman dan Memey berada bersama dalam premis terbabit dan gagal juga untuk membuktikan bahawa mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Katanya, semasa serbuan itu memang pintu jeriji premis terbabit berkunci dan hanya dibuka selepas 30 minit diketuk, bagaimanapun apabila ia dapat dibuka, hanya Memey - dalam keadaan lengkap berpakaian - yang berada di dalamnya.

Pencarian yang dijalankan di dalam premis terbabit juga tidak menemui Norman, kerana dia berada di premis bersebelahan dengan berpakaian baju putih dan seluar pendek.

Walaupun pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa bahawa Norman boleh ke premis 4-2A dengan cara memanjat lubang pada tingkap jeriji, sayangnya dakwaan panjat (mahkamah semasa melawat lokasi kejadian memutuskan perkara itu boleh dilakukan) tidak disoal dengan lanjut.

Malah, Salehan juga mendakwa tiada keterangan yang dapat menyatakan sama ada tingkap di premis 4-A2 berada dalam keadaan berkunci atau tidak kerana secara lojiknya, sudah pasti jeriji tingkap akan dikunci dari dalam untuk tujuan keselamatan.

Pada penghakimannya, beliau juga berkata, tiada permohonan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan Mohamed Sophee berhubung keterangannya yang menyatakan bahawa tingkap itu berkunci, sedangkan ada keterangan lain yang menyatakan Norman dilihat memanjat tingkap itu.

Ujar beliau, Norman dan Mohamed Sophee mempunyai hubungan kekeluargaan malah turut mencari nafkah dengan bekerja dengan adiknya.

Meskipun terdapat kesan cap jari pada tingkap itu, sayang seribu kali sayang kerana gambar cap jari itu tidak dibuat perbandingan untuk mencari pemiliknya.

Justeru itu, Salehan berpesan seharusnya jurufoto dihantar untuk menimba ilmu mengambil gambar cap jari yang kemudiannya dihantar ke pihak berkuasa yang berhak untuk dibuat perbandingan.

Tambahan pula, menurut Salehan ia dapat membantu dalam mengendalikan kes-kes syariah yang semakin mencabar dewasa ini.

Selain itu, Salehan juga menyuarakan kehairanan beliau berhubung gambar yang dikemukakan di mahkamah, ekoran gambar-gambar itu diambil lewat dua, tiga hari selepas kejadian, walhal ia juga perlu diambil semasa kejadian. Beliau juga menyentuh mengenai kelakuan pengadu kes itu, Mohd Yusri Abdul Razak (saksi pendakwaan keenam) yang kenyataan kepada rancangan Melodi selepas tangkapan dibuat.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam syarie yang mewakili pasangan itu, Fakhrul Azman Abu Hassan yang menyatakan bahawa rakaman tersebut boleh ditonton di laman sosial, YouTube.

Sehubungan itu, Salehan memutuskan bahawa tindakan itu adalah subjudis (kacau ganggu kes yang belum diputuskan) kerana seolah-olah ia dibicarakan oleh media terlebih dahulu.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru untuk penulis, kerana penulis dan rakan-rakan pernah berhadapan dengan situasi sama dalam kes nafkah anak seorang pengacara dan pelakon yang difailkan oleh bekas isterinya.

Kes tersebut - yang masih belum selesai sehingga kini - 'dibicarakan' lebih awal di media sehinggakan pada satu tahap, keluar perintah larangan untuk media, yang sedikit sebanyak menyukarkan wartawan yang benar-benar mencari nafkah dan bukannya mengejar sensasi.

Apapun, dugaan yang menimpa Norman dan Memey telah berakhir dan diharapkan akan menjadi permulaan baru bagi menuju ke arah yang lebih baik daripada semalam. Begitu juga buat Abby, semoga berjaya menempuh kehidupan dengan tiga permata hatinya.

Artikel Lain