suria

Saman Fitnah Menteri Pelancongan Terhadap Pengarah Syarikat Dapat Diselesaikan Di Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu kes saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen terhadap pengarah sebuah agensi pengiklanan, Austen Victor Lauw Zecha, akan dapat diselesaikan di luar mahkamah setelah satu lagi terma dipersetujui.

Hakim Datuk V.T.Singham kemudiannya menetapkan 17 Ogos ini untuk mengetahui sama ada kes berkenaan dapat diselesaikan di luar mahkamah selepas peguam Sunil Abraham, yang mewakili Ng, dan peguam T.H. Liew, yang mewakili Zecha, memohon masa untuk berbincang mengenai perkara itu.

Dalam saman yang difailkan pada 14 April lepas, Ng mendakwa Zecha yang merupakan pengarah TBWA-ISC Malaysia Sdn Bhd dan Integrated Strategic Communications Sdn Bhd (ISC), dalam satu wawancara dengan stesen radio, Business FM89.9, telah mengeluarkan kata-kata aduan palsu dan serangan terhadapnya sebagai Menteri Pelancongan.

"Wawancara dan kata-kata aduan pihak defendan itu telah menerima liputan luas di media cetak di Malaysia serta di internet,," kata Ng, yang juga Naib Presiden MCA.

ISC, yang mengendalikan kempen "Malaysia Truly Asia" mendakwa mereka menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan kononnya setelah diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ng, selaku plaintif, mendakwa kata-kata semasa wawancara itu telah merosakkan reputasi dirinya sebagai ahli politik dan menteri termasuk di mata pelanggan dan syarikat yang mempunyai urusan dengan Kementerian Pelancongan.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untuk menghalang defendan, ejen dan/atau pekerja, daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya. - BERNAMA

Artikel Lain