suria

Pertubuhan Majikan Dan Pekerja Gesa Kerajaan Tangguh Program Pengampunan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan majikan dan pekerja pada Isnin menggesa kerajaan supaya menangguhkan segera program pengampunan bagi 1.2 juta pekerja tanpa izin yang bermula Isnin.

Ini kerana langkah yang sedang dilaksanakan untuk mendaftar pekerja sah menggunakan sistem biometrik adalah tidak lengkap dan dipenuhi masalah.

"Pelaksanaan kedua-dua langkah ini secara serentak adalah tugas besar yang tidak berupaya dikendalikan oleh pihak berkuasa," kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan kepada Bernama.

Cadangan asal adalah untuk memulakan program pengampunan pada 11 Julai namun ditangguhkan kerana Kementerian Dalam Negeri berdepan masalah untuk melantik ejen dan jentera untuk pendaftaran pula belum ditempatkan.

Sebaliknya kementerian memutuskan untuk melaksanakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, bermula dua minggu lepas dan masih dalam pelaksanaan dengan tiada tarikh akhir ditetapkan untuk menyiapkan proses itu.

Shamsuddin berkata pendaftaran pekerja yang sah menggunakan sistem biometrik yang sedia ada mengandungi terlalu banyak masalah dan ia perlu diatasi segera sebelum proses itu boleh diselesaikan.

Sehingga kini hanya 600,000 pekerja sah daripada anggaran kira-kira 1.2 juta pekerja yang telah didaftarkan.

"Memandangkan terlalu banyak perubahan dibuat kepada program itu dalam masa lebih kurang sebulan, semua pemegang kepentingan -- majikan, pekerja, perwakilan asing, malah beberapa pegawai imigresen yang ditugaskan -- menjadi keliru," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Dr Irene Fernandes.

"Melainkan perancangan rapi dijalankan, keseluruhan usaha ini akan menemui kegagalan," tegas beliau.

Irene mengesyorkan agar Kementerian Dalam Negeri menyediakan garis panduan yang jelas mengenai program pengampunan dan memastikan ia mempunyai keupayaan untuk memantau proses pendaftaran supaya pekerja serta majikan tidak tertipu.

Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A. Balasubramaniam berkata Kementerian Dalam Negeri seharusnya mempelawa pegawai Jabatan Tenaga Kerja dan wakil kesatuan sekerja untuk membantu dalam program pendaftaran itu.

"Pelaksanaan program ini tidak seharusnya diletakkan semata-mata di atas bahu ejen sektor swasta yang didorong oleh 'motif untuk mengaut keuntungan', sekaligus membawa kepada penyalahgunaan," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya program itu ditangguhkan bagi memberi masa kepada pihak berkuasa untuk merancang dengan rapi dan mengatasi masalah yang mendepaninya.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Malaysia Mohamad Audong berkata sistem pendaftaran biometrik telah menimbulkan banyak masalah kepada anggota persatuan itu berikutan kekurangan pusat pendaftaran. - BERNAMA

Artikel Lain