suria

Kehilangan Barang Kemas Untuk Pameran Di P.Pinang Mungkin Kerja Orang Dalam

GEORGE TOWN: Polis tidak menolak kes kehilangan barangan kemas serta batu permata jed bernilai RM1 juta milik seorang warga China adalah ‘kerja orang dalam’.

Ketua Polis George Town, Penolong Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya sedang menyiasat dari segala sudut dan tidak menafikan ada kemungkinan ini merupakan kerja orang dalam termasuk kakitangan hotel.

Barangan kemas tersebut, milik Li Sue Hai didapati hilang apabila dia kembali semula ke hotelnya pada Ahad.

Barang-barang kemas tersebut dibawa dari China untuk satu pameran barangan kemas antik bermula Sabtu lepas sehingga Rabu ini bertempat di Kolej Han Chiang (HCC) di sini.

Menurut Gan, pihak polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 380 Kanun Kesiksaan.

Sementara itu Pengarah Eksekutif HCC, Datuk Dr Cheah See Kian berkata, walau pun ditimpa musibah tetapi Li telah memutuskan untuk meneruskan pelan asalnya untuk terus berada di sini dan hanya akan kembali ke China pada Khamis.

“Sebagai penganjur kami bertanggungjawab untuk membantunya termasuklah memberi maklum balas mengenai hasil siasatan polis jika terdapat sebarang perkembangan,” ujarnya.

Dr Cheah menambah, ekoran kejadian itu pihak penganjur juga telah menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan pada pameran tersebut.

Artikel Lain