suria

Tawaran Kepada Ku Li Belakangkan Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang dilihat sebagai membelakangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila didakwa mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Naib Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh berkata perbincangan mengenai pelawaan kepada Anggota Parlimen Gua Musang itu dikatakan turut melibatkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"JMM difahamkan Anwar tidak tahu mengenai perkara ini...dan kami mahu tahu mengapa Nik Aziz membelakangkan Anwar (dalam hal ini)," katanya di sini, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pelawaan kepada Tengku Razaleigh dibuat berikutan perbicaraan kes Anwar dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Omar mempersoal sama ada pelawaan itu dibuat berikutan ada pihak tertentu dalam pakatan pembangkang yang menjangka Anwar bersalah dalam kes itu.

"Mungkinkah Karpal Singh (peguambela Anwar) sudah maklumkan kepada DAP, PAS, PKR mengenai kes khalwat Anwar...saya rasa ada yang tidak kena dalam hal ini (pelawaan kepada Tengku Razaleigh)," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan pendedahan Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa pelawaan kepada Tengku Razaleigh dibuat sebagai persiapan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. BERNAMA

Artikel Lain