suria

Malaysia Dijadikan Pusat Rujukan Dalam Industri Halal - PM

KUANTAN: Malaysia dijadikan pusat rujukan oleh kebanyakan negara dalam pembangunan industri halal kerana negara telah mendahului negara-negara lain daripada segi penglibatannya dalam industri itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata berbanding industri-industri lain, seluruh dunia memberi tumpuan kepada Malaysia dalam aspek pembangunan industri halal kerana imej dan reputasi terbaik yang dimiliki negara dalam bidang itu.

"Malaysia tersohor dalam memperkenalkan piawaian dan pensijilan halal berkaitan produk makanan lebih 30 tahun lalu kepada seluruh dunia dan juga keupayaan kita mewujudkan piawaian halal bagi produk bukan makanan iaitu untuk industri kosmetik, farmaseutikal dan logistik.

"Kepakaran kita dalam membangunkan piawaian-piawaian halal ini telah menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepada negara-negara lain dan secara tidak langsung jelas memaparkan pelaksanaan kewajipan fardu kifayah oleh Kerajaan Malaysia dan sumbangannya kepada dunia sebagai sebuah negara Islam," katanya pada majlis penutup Program Transformasi Halal 2011 di Kem Batu 10 di sini Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Najib berkata walaupun negara belum menjadi pengeluar produk makanan yang besar, namun tumpuan kerajaan banyak diberikan kepada pembangunan sektor makanan halal selain ia dikembangkan sektor perbankan dan kewangan Islam, takaful, logistik, pelancongan dan sebagainya.

Malaysia mengambil pendekatan yang holistik dalam pembangunan industri halal ke arah mewujudkan ekosistem halal atau hab halal yang menyeluruh, katanya.

Menurutnya konsep halal kini turut menarik minat pengguna bukan Islam kerana ia bukan saja tertumpu kepada aspek penyembelihan dan kaitannya tidak terhad kepada produk daging sahaja, malah mengambil kira aspek kebersihan dan keselamatan kepada pengguna.

"Secara tidak langsung industri halal mampu menjamin kesejahteraan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat melalui penyediaan peluang-peluang pelaburan dan pekerjaan serta pembangunan kemahiran modal insan," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia terkenal dengan pensijilan halal dan logo halal, tetapi masih belum mempunyai kekuatan secukupnya daripada segi pengeluaran makanan di mana nilai eksport makanan halal yang diproses dan tidak diproses hanya berjumlah RM2.6 bilion pada suku tahun pertama 2011.

Beliau berkata jumlah itu mesti dipertingkatkan lagi untuk menjana pulangan kepada ekonomi negara di samping merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia.

Perdana Menteri menyeru syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji, Sime Darby dan Permodalan Nasional Berhad supaya melibatkan diri dalam industri halal terutamanya aktiviti pertanian berskala besar atau menerusi pengambilahihan syarikat atau jenama yang sudah dikenali. - BERNAMA

Artikel Lain