suria

Kayuhan Berbasikal Kibar Jalur Gemilang Di Balik Pulau

BALIK PULAU: Seramai 50 anggota komuniti 1Malaysia menamatkan kayuhan berbasikal amal sejauh 40 kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang mengelilingi kawasan Balik Pulau di sini Ahad.

Yang Dipertua Komuniti 1Malaysia Shah Headan Ayoob Shah berkata kumpulan itu memulakan kayuhan dari kawasan pekan Balik Pulau mengelilingi Bukit Hilton dan Kuala Sungai Pinang pada awal pagi.

Katanya kayuhan amal 1Malaysia ini adalah siri kelapan diadakan sejak April lepas bagi memupuk kesedaran dan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat sempena bulan kemerdekaan.

Beliau berkata, selain itu, acara kayuhan berkenaan turut mengambil inisiatif memberi sumbangan kepada golongan miskin sempena sambutan Ramadan.

"Lebih 40 buah keluarga golongan miskin di sekitar Bukit Kecil dan Kuala Sungai Pinang menerima sumbangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kayuhan yang diadakan dua minggu sekali itu sebelum ini diadakan di Bukit Sungai Ara, Pulau Betong, Gunung Jerai, Bukit Mertajam, Teluk Bahang, kayuhan mengelilingi Pulau Pinang, Gertak Sanggul ke Teluk Kumbar. - BERNAMA

Artikel Lain