suria

"Jangan Terpedaya Dengan Tohmahan Pembangkang," Kata Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihati agar tidak terpedaya dengan pelbagai dakwaan yang dilontarkan pembangkang kononnya kerajaan tidak menjalankan pilihan raya secara bersih dan adil.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembangkang gemar memutarbelitkan fakta dan cuba mempengaruhi fikiran rakyat dengan mewujudkan pelbagai isu dengan tujuan menjatuhkan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Contohnya seperti isu-isu yang dibangkitkan sebuah kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram di bandar raya baru-baru ini," katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) di Segambut di sini Ahad.

Sehubungan itu, beliau menggesa MIUP supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang dengan mengadakan perhimpunan haram sehingga menimbulkan huru-hara kepada negara.

Mengenai MIUP, Tengku Adnan yakin presiden parti Datuk S.Nalakaruppan dan semua anggota parti itu akan bekerja keras dalam membantu BN memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pada sidang akhbar selepas majlis perasmian, Tengku Adnan berkata MIUP mempunyai lebih 20,000 anggota di seluruh negara dan dengan jumlah tersebut, parti itu diharap dapat membantu mengembalikan sokongan kaum India terhadap BN.

Sementara itu, Nalakaruppan berkata MIUP akan menggerakkan semua anggotanya bertemu dengan kaum India dari semasa ke semasa dalam misinya untuk mengembalikan sokongan terhadap BN. - BERNAMA

Artikel Lain