suria

Tiga Projek Mampu Atasi Krisis Air Selangor - Syabas

KUALA LUMPUR: Krisis bekalan air di Selangor yang dijangka bermula tahun depan boleh diatasi dengan pelaksanaan tiga projek termasuk cadangan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2.

Pengarah Eksekutif (Kualiti air, Aset dan Strategik) Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Roowina Merican A Rahim Merican berkata dua lagi ialah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor (PPAMPS) serta pembinaan empangan dan loji baru di Salak Tinggi.

"Bagaimanapun ketiga-tiga projek ini mempunyai masalah tersendiri yang menyebabkan kesemuanya tertangguh," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada 15 pemenang Cabutan Bertuah Pelanggan Prihatin Syabas, di sini, Sabtu.

Katanya Syabas berharap semua pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah berbangkit secepat mungkin demi kepentingan semua memandangkan simpanan air sedia ada sangat rendah.

"Kapasiti loji kita sekarang 4,326 juta liter sehari dan kita hanya ada simpanan tiga ke lima peratus sahaja daripada permintaan. Bila simpanan ini habis kita tiada pelan kontigensi yang boleh bantu bekalkan air terus dan cepat kepada kita," katanya.

Ini kerana kata Roowina Merican, bekalan air berbeza dengan bekalan elektrik yang mempunyai sistem Grid Nasional yang membolehkan elektrik disalurkan secara terus dan cepat antara negeri di Semenanjung.

"Bekalan air tiada sistem sebegitu, tiada sistem perpaipan pindahkan air antara negeri-negeri di Semenanjung, jadi bila krisis air berlaku di Selangor bagaimana kita mahu pindahkan air daripada negeri lain ke Selangor," katanya.

Katanya PPAMPS sepanjang 44.6 km yang menelan belanja RM3.94 bilion itu bakal mengambil air dari Sungai Semantan, Pahang untuk dibekalkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kita harap PPAMS siap menjelang 2014 di mana masa itu dijangka krisis air di tahap meruncing," katanya.

Cadangan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang melibatkan kos RM268.5 juta pula dijangka mengambil masa 43 bulan untuk disiapkan.

Beliau berkata keperluan pembinaan empangan dan loji baru di Salak Tinggi timbul apabila loji rawatan air yang sedia ada terpaksa ditutup beberapa kali antara 2005 dan 2009, berikutan pencemaran di Sungai Labu, Negeri Sembilan yang membekalkan air ke loji itu.

Sementara itu, beliau berkata Syabas menerima 153,343 panggilan aduan melibatkan masalah tiada bekalan air, kerosakan paip dan kualiti air antara April dan Jun tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain