suria

MIC Minta EPU Tubuh Jawatankuasa Khas Tingkat Ekonomi Kaum India

PUTRAJAYA: MIC pada Sabtu mencadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa berprofil tinggi untuk menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi masyarakat India.

PresidennyaDatuk G. Palanivel berkata jawatankuasa itu perlu dianggotai perancang, pemikir, penggubal dasar dan kumpulan pakar.

"Jawatankuasa ini mestilah mempunyai para pemimpin MIC sebagai anggotanya. Program yang dilaksanakannya pula perlu mampu memikat hati dan minda masyarakat India," kata Palanivel dalam ucapan dasarnya pada mesyuarat Agung Tahunan ke-65 MIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Mesyuarat yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut dihadiri bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Palanivel berkata walaupun rancangan serta program yang diperkenalkan kerajaan adalah baik, tetapi ada kalanya ia tidak sampai kepada kumpulan yang amat memerlukannya atau kumpulan sasaran.

"Apabila sesuatu rancangan tidak sampai kepada kumpulan sasaran, mereka berasa dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata MIC sedang membina sebuah "Kenderaan Pelbagai Guna" yang akan melonjakkan pembangunan ekonomi masyarakat India dan untuk menjayakannya, parti itu memohon beberapa bentuk bantuan daripada kerajaan seperti peruntukan 20,200 hektar tanah untuk tanaman kelapa sawit dan komoditi lain serta pembinaan sebuah kilang memproses minyak sawit berharga RM60 juta.

MIC juga memohon tambahan 1,000 tempat dalam peruntukan tahunan untuk membolehkan pelajar kaum India mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi, katanya.

"Kami memerlukan dana daripada kerajaan untuk tujuan ini dan sektor swasta bersedia menyediakan tempatnya. Pembiayaan besar juga diperlukan untuk membina dan mengubah suai sekolah Tamil di seluruh negara," katanya. BERNAMA

Artikel Lain