suria

Masalah Kemiskinan Tumpuan NKRA Ketujuh Dan Bajet 2012

IPOH: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-7 yang berkaitan dengan usaha memerangi kos kehidupan yang kian meningkat akan memfokuskan kepada penduduk miskin bandar dan miskin tegar di luar bandar, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanazdlah.

Katanya masalah kemiskinan penduduk miskin bandar dan miskin tegar luar bandar juga merupakan antara isu yang diambil kira dalam penyediaan Bajet 2012.

"Enam NKRA yang ada sebelum ini tidak memfokuskan secara terperinci masalah ini tetapi selepas ianya diputuskan di dalam mesyuarat kabinet minggu lalu, ia akan dibincangkan secara lebih mendalam demi memastikan golongan ini tidak terpinggir.

"Kita akan membuat kajian dan penyelidikan yang lebih terperinci bagi membantu rakyat dalam menangani kos kenaikan harga barangan makanan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Surau Ah-Saniah Kampung Seberang Sungai Tapah di sini, Sabtu.

Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata antara yang akan diambil kira ialah bagi memastikan peruntukan yang disalurkan sampai kepada penerima.

Beliau menjelaskan dalam penyediaan bajet itu, kerajaan akan membuat perancangan melihat kepada mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 di bandar dan kumpulan miskin tegar di luar bandar.

Husni pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM160,000 kepada surau berkenaan yang sebelum ini dibina dengan kos RM450,000.

Minggu lepas, Kabinet memutuskan untuk menambah satu lagi NKRA iaitu yang berkaitan usaha untuk memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekankan bahawa perkara itu diambil kira disebabkan fenomena global kenaikan harga barangan makanan yang sudah membawa impak kepada rakyat Malaysia.

"Maka kerajaan berpendapat ini sudah pun menjadi isu utama di kalangan rakyat dan justeru itu, kita perlu menentukan respons dan penyelesaian yang boleh memberi kesan dan kelegaan kepada rakyat," kata Najib.

Enam teras NKRA sedia ada ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana. BERNAMA

Artikel Lain