suria

Tindakan Terhadap Tiga Pegawai SPRM Tidak Akan Jejaskan Moral Anggota Lain

PORT DICKSON: Tindakan menggantung tugas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan kematian Teoh Beng Hock, tidak menjejaskan semangat dan moral para pegawai dan petugas lain dalam suruhanjaya itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar berkata ia merupakan cabaran kepada pegawai SPRM dan mereka sudah diterapkan dengan semangat yang kental.

"Masa masuk SPRM, kita sudah tanam dengan nilai-nilai ini dan bagaimana cara menanganinya malahan, mereka akan menjadi lebih kental, lebih berdisplin dan teratur dalam tugas," katanya kepada pemberita selepas majlis tamat latihan kursus asas pegawai SPRM 2011.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga pegawai SPRM yang dikecualikan daripada sebarang tugas siasatan dan penubuhan satu pasukan khas untuk menyiasat tuduhan bahawa mereka telah menjalankan soal siasat yang agresif terhadap Teoh.

Seramai 57 pegawai SPRM bertaraf kontrak berjaya menamatkan latihan asas hari ini, mereka hanya akan diserapkan secara tetap selepas prestasi dan komitmen mereka mencapai tahap yang dikehendaki selepas dua tahun berkhidmat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain