suria

Saksi Sahkan Sediakan Baucer Pembayaran Pendahuluan Projek Di Dubai

KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif akaun Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA) Sdn Bhd Wan Azlina Hani Hasbi pada Jumaat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat bahawa dia telah menyediakan baucer pembayaran pendahuluan untuk projek di Dubai kepada LCL Interior.

Wan Azlina, 32, yang merupakan saksi kedua pendakwaan, berkata dia menerima surat tuntutan pembayaran daripada LCL Interior pada 26 Jan 2007 melalui faks dan turut diarahkan untuk menyediakan baucer pembayaran kepada syarikat itu pada hari berkenaan.

Arahan untuk menyediakan baucer pembayaran itu diterima daripada Eksekutif Kanan Akaun, Zeti Akhmar Mohamad Yusop, kata Wan Azlina yang memberi keterangan dalam kes pecah amanah Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat.

Pada 16 Ogos tahun lepas, Mirza, 54, dan Mohammad Rosly, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Feb 2007.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda serta boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, Wan Azlina berkata selepas menyediakan baucer pembayaran itu, dia memberikannya kepada Zeti Akhmar untuk dibuat penyemakan.

Katanya Mirza dan Mohammad Rosly ada menandatangani borang permohonan kiriman wang tetapi dia tidak melihat dan mengingati tarikh mereka menandatanganinya.

Wan Azlina turut memberitahu mahkamah bahawa salinan asal baucer pembayaran dan borang permohonan kiriman wang telah difaks kepada LCL Interior pada 1 Mac 2007 untuk memaklumkan bahawa pembayaran telah dibuat.

Ketika disoal peguam Saseedharan Menon mengapa salinan asal baucer itu tidak sama dan tidak mempunyai tandatangan berbanding salinan kedua, Wan Azlina berkata: "Kebiasaannya syarikat tidak akan tandatangan pada salinan yang akan dihantar kepada pihak ketiga kerana bimbang tandatangan itu ditiru.

Saksi itu berkata salinan kedua baucer akan disimpan untuk kegunaan syarikat.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia di PEMPENA Sdn Bhd Tengku Rozaidin Tengku Yazid memberitahu mahkamah Mohammad Rosly mula bertugas di PEMPENA pada 12 Jun 2000 sebagai pengurus besar dan pada 21 Dis tahun yang sama beliau menjawat jawatan sebagai pengarah urusan dan jawatan itu kemudiannya ditukar kepada ketua pegawai operasi.

Tengku Rozaidin, 50, yang bertugas di PEMPENA sejak 2006 berkata pada 15 Nov 2007 Mohammad Rosly ditukarkan ke Malaysian Travel Business Sdn Bhd sebelum digantung tugas selepas siasatan dalaman dijalankan terhadapnya.

Beliau, yang merupakan saksi ketiga pendakwaan, berkata perkhidmatan Mohammad Rosly ditamatkan pada 18 Mac 2010.

Perbicaraan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung Selasa ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain