suria

Ramli Hassan Dilantik Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor

JOHOR BAHARU: Ketua Cawangan Khas Johor Datuk Ramli Hassan dilantik memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Johor bagi menggantikan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan.

Majlis serah terima tugas antara Jalaluddin dan Ramli diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini, dengan disaksikan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Mohd Mokhtar pada majlis berkenaan turut menyampaikan surat penghargaan khas kepada Jalaluddin.

Berucap pada majlis berkenaan, Mohd Mokhtar menyifatkan bekas timbalannya itu sebagai seorang yang berdikasi sepanjang tempoh perkhidmatan dua tahun dan empat bulan, di kontinjen Johor.

Beliau berkata Jalaluddin banyak berjasa dalam membantu menurunkan kadar jenayah di negeri ini dengan menggunakan segala pengalaman yang dimiliki.

Jalaluddin, 54, yang menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1977, pernah berkhidmat sebagai Komander Pasukan Gerakan Marin sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu pada September 2007 dan Timbalan Ketua Polis Johor pada Mac 2009. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain