suria

PM Nafi Dapat Hak Bangunkan Paip Gas Negara Asean

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat menafikan dakwaan sebuah syarikat tempatan mendapat hak mengusahakan sebuah konsortium bagi membangunkan saluran paip gas menghubungkan negara-negara Asean termasuk Malaysia dengan China melibatkan pelaburan bernilai AS$100 bilion (RM300 bilion).

“Tidak, tidak…tidak ada perkara seperti itu. Kita tidak pernah bincang mengenainya,” katanya dalam nada terkejut kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di sini, Jumaat.

Rabu lalu sebuah syarikat tempatan yang dikenali sebagai PanelPoint Sdn Bhd mendakwa Najib telah memberi restu secara hitam putih kepada syarikat tersebut untuk membentuk sebuah konsortium bagi membangunkan saluran paip gas 8,000 kilometer menghubungkan negara-negara Asean termasuk Malaysia dengan China melibatkan pelaburan AS$100 bilion (RM300 bilion).

Bagaimanapun syarikat tersebut tidak mempamerkan sebarang dokumen yang berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Presiden Umno berkata kerajaan mengalu-alukan pembebasan enam orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) selepas ditahan selama hampir 28 hari di bawah Ordinan Darurat sejak 2 Julai lalu.

“Itu keputusan pihak polis... Kita terima baik keputusan pihak polis membebaskan mereka,” katanya.

Berhubung tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh Jabatan Peguam Negara terhadap enam tahanan tersebut, Najib berkata: “Terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Sebagai sebuah negara berpegang pada prinsip undang-undang.”

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan pembebasan enam ahli PSM yang ditahan sejak 2 Julai lalu.

Mereka terbabit ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar; Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49; Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai, 33; M. Sukumaran, 50; Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin Pemuda, R Sarat Babu, 25.

Bagaimanapun, Ismail dalam kenyataannya di sini berkata, berikutan pembebasan itu, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Keenam-enam aktivis PSM itu ditahan dua minggu sebelum perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lepas.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain