suria

M'sia Sememangnya Memerlukan Lebih Ramai Penduduk - Nor Mohamed

PUTRAJAYA: Malaysia memerlukan bilangan penduduk melebihi jumlah yang ada sekarang demi pembangunan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, bilangan penduduk terkini sebanyak 28,334,135 orang menurut Banci 2010 adalah tidak memadai.

Katanya, bilangan penduduk yang ramai dapat menyokong industri dan penggunaan dalam negara.

"Selain itu, kita memerlukan bakat, kepakaran serta sumber tenaga kerja yang hanya dapat dijanakan melalui bilangan penduduk yang ramai.

"Masih terdapat banyak ruang untuk berkembang lagi dan negara memerlukan bilangan penduduk yang ramai," katanya pada sidang media pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi, Banci 2010 di sini, Jumaat.

Nor Mohamed memberitahu, secara puratanya, nisbah kesuburan adalah sebanyak 2.3 peratus iaitu sepasang suami isteri menghasilkan dua atau tiga anak.

Katanya, nisbah tersebut seharusnya diperbaiki bagi mencapai matlamat meramaikan bilangan penduduk.

"Kita sedar nisbah itu rendah kerana tuntutan kerja yang kadang-kala memisahkan suami isteri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Mohamed menegaskan, penduduk negara masih belum disifatkan sebagai "masyarakat berusia" kerana golongan berusia 65 tahun dan lebih mencatatkan sebanyak 5.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara.

Jelasnya, negara ini hanya dikategorikan sebagai masyarakat berusia apabila golongan tersebut merangkumi lebih 10 peratus daripada bilangan penduduk negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain