suria

Mahkamah Ketepi Hukuman Penjara Terhadap Ameng

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara dua bulan terhadap penyanyi kumpulan Spring Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng tetapi mengekalkan denda RM4,000 yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata majistret yang menjatuhi hukuman tersebut terhadap Wan Aminuddin, 42, pada 1 November tahun lalu telah terkhilaf mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Ini bermakna mengikut seksyen itu, majistret hanya boleh menjatuhi hukuman penjara sahaja atau denda sahaja dan bukannya kedua-dua sekali.

Mohamad Zabidin berkata beliau bersetuju dengan pihak perayu (Wan Aminuddin) yang diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman bahawa majistret hanya boleh menjatuhi hukuman penjara ataupun denda.

Mohamad Zabidin dalam penghakimannya memutuskan bahawa pihak pendakwaan juga telah memenuhi peruntukan Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dalam menyerahkan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan 10 hari sebelum tarikh perbicaraan.

Sebelum itu, Kamarul Zaman berhujah bahawa sabitan terhadap Ameng sepatutnya diketepikan atas alasan pihak pendakwaan gagal menyerahkan keputusan laporan ujian pengesanan dadah dalam air kencing.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa pihaknya ada menyerahkan laporan itu kepada Ameng dan penyanyi itu telah pun menandatanganinya.

Bagaimanapun, Faizah berkata polis tidak mencatat tarikh penyerahan itu.

Pada 12 Mei tahun lepas, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Ameng kini menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor selama lapan tahun setelah Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April lalu menjatuhi hukuman selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Dia juga dikenakan hukuman 10 sebatan oleh mahkamah berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain