suria

Kemukakan Bukti Jika Benar Ada Pengundi Tidak Sah: SPR

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis meminta mereka yang mendakwa wujud pengundi bukan rakyat Malaysia yang sah dalam daftar pemilih terutama di Sabah, agar mengemukakan bukti.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata ini kerana dakwaan tanpa bukti seolah-olah mempersendakan pengiktirafan kewarganegaraan seseorang yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Kalau ada yang syak wasangka, jangan terus buat andaian yang bukan-bukan. Saya minta mereka tampil tunjukkan bukti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pilihan Raya Sabah, di sini.

Kenyataan beliau itu susulan isu pengundi hantu dan penduduk yang mempunyai MyKad tidak sah, yang dibangkitkan dalam perjumpaan tersebut.

Wan Ahmad berkata SPR juga melantik pembantu pendaftar (PP) daripada kalangan parti politik.

Bagaimanapun katanya, terdapat borang pendaftaran yang dihantar PP berkenaan terpaksa ditolak kerana terdapat pendaftaran rakyat yang sudah sah menjadi pemilih, bertaraf penduduk tetap dan rakyat yang belum mencapai usia 21 tahun.

Wan Ahmad berkata setakat Mei lepas, seramai 864,941 rakyat Sabah didaftarkan sebagai pemilih daripada 1,169,884 yang layak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain