suria

SKMM Siasat Laporan Penerima Jual Komputer Riba 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat laporan yang mendakwa ada pihak menjual komputer riba 1Malaysia yang diterima mereka.

Pengarah Wilayah Tengah SKMM Mohd Fadhillah Mohd Nor berkata jika benar perkara itu berlaku, mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas.

"SKMM telah meletakkan nombor siri di setiap komputer riba tersebut dan dengan maklumat penerima terbabit SKMM dapat mengesan siapa yang bertindak menjualnya," katanya di sini Khamis.

Beliau berucap pada majlis penyerahan 400 unit komputer riba 1Malaysia kepada pelajar dari sembilan sekolah menengah di kawasan parlimen Cheras.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee yang turut hadir, memberitahu pemberita ini adalah pemberian pertama membabitkan pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Setelah berbincang dengan (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) Datuk Seri Dr Rais Yatim telah memutuskan untuk mengagihkan komputer riba kepada pelajar di kawasan Wilayah Persekutuan," katanya.

Syed Ali juga berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian itu agar peruntukan komputer riba ditambah untuk diberikan kepada pelajar yang layak namun tidak tersenarai pada pengagihan hari ini.

Pemberian komputer riba 1Malaysia adalah untuk pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan dan tiada langganan jalur lebar di rumah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain