suria

Rang Undang-Undang Pengamal Ubat Tradisional Dibentang Hujung Tahun Ini

KANGAR: Kementerian Kesihatan akan membentangkan Rang Undang-Undang Pengamal Ubat Tradisional dan Komplimentri di Parlimen penghujung tahun ini bagi memudahkan pemantauan dilakukan terhadap pengamal ubat-ubat tradisional di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rang undang-undang itu memperuntukkan tindakan tegas diambil terhadap para pengamal ubat tradisional yang melakukan suatu kesalahan, khususnya yang tidak mendaftarkan ubat tradisional dihasilkan atau dijual dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menerima penganugerahan bintang Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP), yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-68 di Balairong Seri, Istana Arau dekat sini, Khamis.

Liow berkata para pengamal perubatan tradisional di negara ini perlu mendaftar segera dengan Kementerian Kesihatan kerana mereka yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah rang undang-undang itu kelak.

Setakat ini, katanya lebih 10,000 pengamal perubatan tradisional di seluruh negara mendaftar dengan kementerian tetapi diyakini masih ramai lagi belum berbuat demikian.

Pendaftaran hendaklah dibuat kepada Biro Farmasi, Kementerian Kesihatan dan mana-mana ubat tradisional yang tidak didaftarkan adalah ubat palsu atau tiruan yang boleh diambil tindakan oleh pihak kementerian.

Liow turut mengumumkan sebuah hospital baru lengkap dengan kemudahan pakar dan berkapasiti 400 buah katil akan dibina di Titi Chai, Utan Aji dekat sini sebagai tambahan kepada perkhidmatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Katanya kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 40 hektar untuk tapak hospital yang akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10 di atas tapak lebih tinggi berbanding tapak HTF yang rendah dan mudah berlaku banjir kilat.

Tapak di Padang Besar yang mulanya dicadangkan untuk tapak hospital kedua di Perlis akan dijadikan tapak Klinik Kesihatan.

Penerima anugerah bintang dan pingat hari ini membabitkan lapan penerima darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP), 24 Pingat Mahkota Perlis (PMP), 37 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 29 Pingat Jasa Baik (PJB) dan lapan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain