suria

Kerajaan Janji Terus Pelihara Kemakmuran Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memastikan negara terus dipelihara daripada anasir-anasir yang boleh menggugat kemakmuran dan perpaduan rakyat hingga menghalang proses kemajuan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persekitaran kondusif dan aman membantu semua sektor termasuk agensi korporat dan swasta mengukuhkan perniagaan seterusnya membolehkan pihak berkenaan menyumbang kepada kebajikan golongan kurang bernasib baik.

"Adalah menjadi harapan kerajaan agar peranan dan tanggungjawab meningkatkan sosio ekonomi negara didokongi bersama oleh pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Ia penting dalam agenda dan amalan meningkatkan kebajikan golongan rakyat yang kurang berkemampuan terutama anak-anak yatim yang sangat memerlukan bantuan dari segi keperluan makanan, kediaman dan pelajaran," katanya pada majlis pelancaran Kempen 'Secupak Budi, Sepenuh Hati' anjuran Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini, Khamis.

Selain itu Muhyiddin berkata sikap ambil peduli khususnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan khususnya dikalangan generasi muda amat penting kerana mereka adalah pewaris masa depan negara.

"Dalam konteks membina kesejahteraan dan perpaduan rakyat, setiap lapisan organisasi merangkumi agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta perlu terus memainkan peranan penting dan berkerjasama membantu masyarakat yang kurang sempurna khususnya anak-anak yatim piatu.

"Perhatian dan kepedulian nyata ke atas generasi muda ini sangat penting kerana mereka juga terangkum dalam generasi yang akan menentukan masa depan negara kita nanti," katanya.

Tambah Muhyiddin lagi, kerajaan sendiri bagitu aktif terutama dalam memberi perhatian kepada golongan anak yatim yang kurang bernasib baik.

Menurutnya kerajaan prihatin dan sedar bahawa dengan bantuan yang sesuai, kanak-kanak itu mempunyai potensi dan keupayaan yang sama untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya memenuhi aspirasi menjadi remaja yang bertanggungjawan dan warganegara yang berjaya.

"Semenjak empat tahun yang lalu, kerajaan memperuntukan sebanyak RM63.3 juta kepada kepada rumah kanak-kanak yang kurang bernasib baik kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos operasi pengurusan rumah tersebut.

"Ini mencerminkan bahawa dasar kerajaan sedia ada adalah amat prihatin kepada kebajikan mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Jelas Muhyiddin lagi, disamping bantuan terus melalui JKM, kerajaan turut memainkan peranan dalam menyokong usaha pihak NGO termasuk menyalurkan bantuan kewangan bagi menguruskan pentadbiran dengan lebih sempurna.

Dalam pada itu, menerusi kempen 'Secupak Budi, Sepenuh Hati' Bernas akan menyumbang 25 gram beras bagi pembelian setiap pek 10 kilogram beras Bernas dari mana-mana kedai di seluruh negara.

Bernas menetapkan sasaran sebanyak 150 buah rumah anak-anak yatim daripada pelbagai kaum dan agama sebagai penerima manfaat kempen ini di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain