suria

Bekalan Makanan Termasuk Ayam Mencukupi Sepanjang Ramadan Dan Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan terutama ayam dan daging mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata mesyuarat antara kementerian dan wakil penternak ayam pada Isnin lepas telah meyakinkan pihaknya untuk meningkatkan penternakan anak ayam sebanyak 15 hingga 20 peratus daripada biasa.

"Negara dijangka memerlukan tambahan 340,000 ekor sehari bagi menampung keperluan bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa tahun ini. Pengeluaran sehari 1.40 juta ayam sementara keperluan harian kini 1.30 juta ekor sehari dan eksport ke Singapura 100,000 ekor sehari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kor Tani Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, Khamis.

Noh berkata wakil penternak ayam juga bersetuju untuk menetapkan harga ayam hidup di peringkat ladang ditetapkan pada harga maksimum RM5.20 sekilogram seminggu sebelum perayaan Aidilfitri dan seminggu selepasnya.

Mengenai kawalan harga ayam, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak (FLFAM) Malaysia untuk membekalkan ayam yang mencukupi di 30 pasar tani di seluruh negara dan membekalkan ayam standard terus kepada pengguna di kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

Dalam pada itu, Noh berkata kerajaan turut memutuskan pengendali industri makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Ayamas Food Corporation dan lain-lain outlet diberi kuota mengimport bekalan keratan ayam (sembilan keratan) bagi kegunaan mereka agar tidak menjejaskan bekalan dalam negara.

"Kebenaran kepada KFC itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam dengan mereka diberi kuota mengimport 800,000 ekor ayam dari pengeluar negara China dan Thailand yang diiktiraf oleh kementerian sehingga hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata bekalan telur ayam juga dijangka mencukupi pada harga 36 sen sebiji bagi Gred A dan begitu juga untuk bekalan kelapa dan sayur-sayuran.

Menurutnya, bekalan daging kambing dan lembu akan mencukupi meskipun mengalami sedikit masalah dari negara pembekal utama.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan meluluskan kemasukan daging kambing bebiri beku dari negara Sudan setelah sebuah loji penyembelihan yang diperiksa dan dijamin halal.

Manakala bekalan daging lembu dijangka mencukupi dengan kebenaran mengimport lembu hidup dari Thailand dan Australia diperluaskan.

"Kenaikan harga akan dapat ditangkis menerusi bekalan daging lembu segar dari Pakistan dan berkemungkinan dari Sudan," katanya.

Noh berkata bekalan daging lembu beku dari China dan Pakistan akan dipertingkatkan sementara bekalan daging kerbau dari India dibenarkan seperti biasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain