suria

Agong Hadiri 'Earth Award Exhibition' Di Clarence and Lancaster House

LONDON: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri Earth Awards Exhibition, iaitu aspek yang penting dalam pameran Prince of Wales Prince Charles' START, di Clarence and Lancaster House Gardens di sini pada Rabu.

Tuanku Mizan, diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, tiba di Clarence House, sebuah kediaman diraja di London, kira-kira 5.45 petang waktu tempatan.

Keberangkatan tiba pasangan diraja disambut oleh Prince Charles dan Seri Paduka berdua kemudian meninjau pameran itu yang memaparkan Forest Gardens, Eco-Villa, Container Gallery dan Eco-Cars.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof turut hadir pada pameran itu yang dihadiri kira-kira 200 jemputan.

Mereka diberi taklimat oleh pereka, pencipta dan pembawa pembaharuan dalam reka bentuk berimaginasi serta inovasi paling canggih.

Antara rekaan terbaru yang sedia untuk dipasarkan ialah Eco-Villa, iaitu suite hotel sifar-pelepasan yang diilhamkan oleh pereka kelahiran Britain Louis Thompson.

Menggunakan sumber semula jadi, Thompson menghasilkan dinding daripada jerami yang dimampatkan dan kemudian dibiarkan keras menggunakan campuran tanah liat, lumpur dan mortar kapur untuk menahan keadaan cuaca serta suhu yang pelbagai.

Buah berangan yang sumbernya diperoleh dalam negara digunakan untuk mencantumkan rumah berkenaan, menjadikan Eco-Villa mudah untuk dirungkai dan dipasang semula. Ia akan dibangunkan semula dan digunakan sebagai pusat pendidikan pada akhir pameran berkenaan.

Pameran lain adalah Container Gallery, iaitu kapal kontena yang diubah suai menjadi ruang galeri yang memaparkan reka cipta Earth Awards yang terpilih termasuk 'Ecological Sequestration System', 'Brazil Chair' dan 'Ask Nature'.

Pasangan diraja kemudian berangkat ke Lancaster House Garden untuk menyaksikan lebih banyak pameran dan beramah mesra dengan tetamu sebelum lawatan itu berakhir kira-kira 7.10 malam.

Earth Awards, inisiatif Malaysia yang diasaskan pada 2008 dengan Tuanku Mizan selaku penaungnya, adalah pencarian global bagi ilham reka bentuk berimaginasi dan inovasi terbaru paling canggih dalam kelestarian.

Pada 2010, Earth Awards dijemput untuk berkongsi platform di London bersama inisiatif Prince of Wales’ START bermatlamat membantu penduduk di seluruh United Kingdom untuk menjalani kehidupan yang lebih lestari.

Ia menerima penyertaan memberangsangkan iaitu 500 peserta dari 65 negara dan turut menarik beberapa institusi seperti Yale, Harvard, Massachusetts Institute of Technology, Oxford dan Cambridge.

Inovasi itu terbahagi kepada enam kategori iaitu Membangunkan Persekitaran, Produk, Fesyen, Sistem, Keadilan Sosial dan Masa Depan. Pemenang setiap kategori akan menerima US$10,000 dan pemenang hadiah utama akan membawa pulang US$50,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain