suria

Taktik Baru Curi Kelapa Sawit Untuk Beli Bekalan Dadah

KEMAMAN: Polis mengesan taktik terbaru yang digunakan oleh penagih dadah termasuk remaja bawah umur untuk membiayai tabiat menagih dadah mereka iaitu dengan mencuri buah kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supritendan Abdullah Sani Salat berkata penagih akan mencuri buah kelapa dari ladang di Felda Cheneh di sini dan menjual untuk mendapat keuntungan sejak empat bulan lepas.

Beliau berkata penagih terbabit mencuri buah-buahan sedikit demi sedikit untuk menipu pekerja ladang, pada mulanya pekerja ladang tidak menyedari kehilangan buah-buahan itu tetapi taktik itu akhirnya terbongkar disebabkan ketamakan penagih untuk mengaut keuntungan yang banyak.

"Kami percaya mereka yang mencuri buah kelapa sawit dan menjual kepada kilang-kilang berhampiran, menyebabkan ladang-ladang mengalami kerugian beribu-ribu ringgit," katanya.

Abdullah Sani berkata bertindak atas aduan oleh pekerja-pekerja, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kemaman menyerbu beberapa sarang penagihan dadah kira-kira 12 tengah malam semalam.

Seramai 18 penagih yang berusia antara 13 dan 40 tahun ditahan dalam operasi yang berlangsung selama lima jam itu dan ujian saringan awal ke atas kesemua penagih yang ditahan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis heroin.

Beliau berkata semua penagih yang ditahan merupakan penagih tegar dan mereka akan menggunakan apa cara bagi memuaskan tabiat penagihan mereka.

"Kami percaya penagih terdesak kerana bekalan dadah telah berkurangan disebabkan oleh kawalan yang lebih ketat di sempadan negeri," katanya.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka semua akan dihantar ke pusat serenti di Besut," katanya.

Abdullah Sani berkata seorang remaja berusia 13 tahun yang ditahan adalah pelajar yang tercicir dari sekolah dan polis akan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri untuk mencari ibu bapa remaja itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang berkaitan jenayah atau dadah di Kemaman supaya menghubungi polis di 09-635 4744 atau 09-635 4745. - BERNAMA

Artikel Lain