suria

Perhimpunan Haram Bukan Amalan Rakyat Negara Maju:Khairy

REMBAU: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata adalah tidak benar bahawa perhimpunan haram menjadi perkara biasa dan diterima oleh masyarakat kota raya besar di negara lain.

Beliau berkata memang wujud demonstrasi di bandar raya lain tetapi ia bukannya boleh diadakan sesuka hati, dan jika adapun, ia tidak menimbulkan masalah dan pesertanya tidak melakukan provokasi terhadap polis.

Bercakap kepada pemberita pada seminar Gagasan 1Malaysia di sini Rabu, beliau berkata hujah pembangkang kononnya kerajaan menyekat kebebasan bersuara ternyata tidak tepat kerana di Amerika Syarikat misalnya, penganjur demonstrasi perlu memohon permit untuk perhimpunan walaupun perlembagaan negara itu memberi jaminan mengenai kebebasan bersuara.

Khairy berkata agenda pembangkang di negara ini dalam mengadakan perhimpunan adalah untuk melakukan provokasi terhadap polis dengan niat untuk menunjukkan keburukan pihak berkuasa jika polis bertindak balas.

"Perhimpunan haram yang dianjurkan tempoh hari sebenarnya sudah lari dari matlamat asal...tajuk dulu ialah untuk pilihan raya yang adil tetapi semasa berhimpun, sudah jelas bahawa mereka mempunyai motif politik yang buruk," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, yang merasmikan seminar itu pula berkata, tindakan polis dalam menyurai perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas adalah mengikut prosedur.

"Kalau nak disuruh bersurai, polis kena tepuk-tepuk belakang, seminggu pun tidak bersurai. Apa yang polis buat adalah prosedur yang dibuat di seluruh dunia," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain