suria

Ketua Umno Kubang Kerian Bebas Tuduhan Gubah Wang Haram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 2008 yang melepaskan dan membebaskan Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian Datuk Mohd Fauzi Ismail daripada dua pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM138,210.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Sulong Mat Jeraie sebulat suara memutuskan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai alasan untuk menganggu keputusan mahkamah yang lebih rendah.

"Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap responden (Mohd Fauzi)," kata Hakim Sulong semasa menolak rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azhar Mohamed. Pada 22 Jan, 2008, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Mohd Fauzi daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah Tinggi pada Julai, 2010 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dalam rayuan yang dikemukakan oleh SPRM.

Mohd Fauzi dituduh memperoleh wang tunai daripada kegiatan haram itu berjumlah RM91,650 daripada Mohd Syahbuddin Hashim, 26, seorang ketua Umno cawangan di depan Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu antara 12.30 tengah hari dan 7 malam pada 6 Januari, 2005.

Dia juga dituduh menerima RM46,560 daripada pembantunya Wan Ibrahim Wan Setapa, 43, di pejabat Umno Kubang Kerian antara 1 tengah hari dan 2 petang pada 10 Januari, 2005.

Mohd Fauzi diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed manakala SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Sementara itu, Mohd Fauzi memberitahu pemberita yang beliau lega dengan keputusan mahakmah hari ini dan akan menumpukan membuat persediaan untuk anggota Umno Bahagian Kubang Kerian menghadapi pilihan raya umum akan datang. -BERNAMA

Artikel Lain