suria

Kes Mirza, Bekas Pegawai Pelancongan Ditangguh Ke Esok

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA) Mohammad Rosly Md Selamat yang bermula Rabu ditangguhkan esok selepas hakim perbicaraan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk meneliti beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu selepas peguam Saseedharan Menon, yang mewakili Mirza, memaklumkan bahawa beberapa dokumen itu termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengarah PEMPENA pada 22 Feb 2007 yang diperoleh daripada pihak pendakwaan, tidak jelas dan tidak lengkap.

"Pihak pembelaan menerima dokumen berkenaan daripada pihak pendakwaan pada 6 Sept 2010, 20 April 2011 dan 25 Julai 2011, namun didapati dokumen itu tidak lengkap. Oleh itu, kami tidak dapat meneruskan perbicaraan pada hari ini dan memerlukan masa untuk meneliti semula dokumen yang baru diperoleh," katanya.

Terdahulu, bekas Naib Pengerusi Sksekutif PEMPENA Sdn Bhd, Akit Sebli, yang merupakan saksi pertama pendakwaan, memberi keterangan dalam kes pecah amanah melibatkan wang syarikat itu berjumlah RM888,000 yang dihadapi oleh Mirza dan Mohammad Rosly pada 2007.

Akit, 57, yang bertugas di PEMPENA dari 2005 hingga Julai 2007, dalam keterangannya berkata Mohammad Rosly, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi PEMPENA, dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek Restoran Malaysia di Dubai.

"Beliau membuat lawatan tapak projek itu di Dubai sekitar penghujung 2006, dan telah membuat penyelidikan dan membentangkannya kepada Ahli Lembaga Pengarah PEMPENA dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Chor Chee Heung," kata saksi itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi.

Akit berkata rancangan untuk membuka restoran itu di Dubai adalah selaras dengan dasar kerajaan Malaysia yang ingin mempopularkan makanan negara ini melalui program "Malaysian Kitchen".

Pada 16 Ogos tahun lepas, Mirza, 54, dan Mohammad Rosly, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meluluskan pembayaran RM888,000 kepada akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Feb 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain