suria

Kematangan Berfikir Penting Dalam Hadapi Faktor Negatif

ALOR SETAR: Umat Islam memerlukan kematangan berfikir dalam menghadapi situasi pada Rabu dengan tenang supaya segala faktor negatif yang akan memecah-belahkan perpaduan dapat dihindari sepenuhnya, titah Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Baginda bertitah tidak dinafikan bahawa sememangnya tidak mungkin untuk memiliki pendapat dan pemikiran yang sama namun untuk bersatu hati sudah pasti tiada halangan.

"Semua pihak perlu bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati hak orang lain. Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekaligus memantapkan perpaduan ummah.

"Justeru tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang berbeza ideologi atau fahaman kerana kita telah akui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup," titah baginda sempena Majlis Idul Ilmi 2011 Maktab Mahmud Alor Setar di sini Rabu.

Baginda turut menggesa warga pendidik supaya menerapkan nilai-nilai murni seperti bersatu padu, bekerjasama dan bertolak ansur dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sepenuhnya agar erti perpaduan dapat difahami dan dinikmati oleh para pelajar di peringkat sekolah.

"Beta berharap pihak sekolah memperbanyak dan mempelbagaikan program yang melibatkan bukan sahaja pelajar dan pendidik malah melibatkan ibu bapa, waris dan masyarakat setempat.

"Program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dapat menjadi wadah dalam memupuk semangat perpaduan kepada seluruh masyarakat di negeri Kedah ini," titah baginda.- BERNAMA

Artikel Lain