suria

Indeks Jenayah Pulau Pinang Turun 26 Peratus Dalam Tempoh Enam Bulan

GEORGETOWN: Indeks jenayah Pulau Pinang berjaya diturunkan sebanyak 26 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata penurunan kadar jenayah itu melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu sebanyak 20 peratus.

Katanya, bagi tempoh setengah tahun pertama itu, kadar jenayah jalanan diturunkan sebanyak 51 peratus berbanding sasaran sebelum ini iaitu sebanyak 40 peratus.

"Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes melepasi sebanyak 53 peratus berbanding sasaran nasional yang ditetapkan iaitu 40 peratus," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bulanan bersama agensi kerajaan dan ketua-ketua polis daerah di sini Rabu.

Beliau berkata penurunan itu adalah kejayaan bersama masyarakat antaranya menerusi penglibatan mereka dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah mencecah lebih 6,000 anggota di sekitar negeri itu.

Ayub berkata polis akan mempertingkatkan operasi mencegah jenayah sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah ekoran Pulau Pinang adalah antara negeri yang tertinggi kadar jenayah dalam negara.

"Polis akan tingkatkan keupayaan dan melipatgandakan operasi rondaan untuk mengurangkan jenayah terutamanya pada musim perayaan yang akan tiba nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain