suria

Empat Terbunuh Dalam Tiga Kemalangan Di Perak

IPOH: Empat terbunuh dalam tiga kemalangan di Manjung dan Hilir Perak membabitkan pemandu lori dan kelindan, penunggang dan pembonceng motosikal, semalam dan awal hari ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata, dalam kejadian pertama seorang kelindan lori Yusman Ismail, 24, terbunuh, manakala pemandunya Mohd Azhar Khamis, 23, cedera parah selepas lori yang mereka naiki dengan muatan peralatan elektrik merempuh sebatang pokok di tepi jalan di km 1.5 Jalan Manjung-Segari.

Yusman yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Manjung, manakala Mohd Azhar yang dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi Rabu.

Abdullah berkata mereka sedang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar.

Dalam kejadian lain di Km 19 Jalan Ayer Tawar-Manjung, seorang penunggang motosikal Samad Osman, 56, bersama pemboncengnya Jamaluddin Sulaiman ,46, terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pada pukul 12.30 tengah hari Selasa.

Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu dalam kejadian di Km 5.5 Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah, seorang pemandu lori Yong Chee Sei, 31, terbunuh selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori lain pada pukul 5.50 petang semalam.- BERNAMA

Artikel Lain