suria

Sistem MACS Akan Diperluas Ke Sempadan Thailand

PADANG BESAR: Sistem Kawalan Keluar Masuk Automasi Malaysia (MACS) akan diperluaskan terutama di pintu-pintu masuk yang bersempadan dengan Thailand dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata jabatan itu akan memaklumkan kepada kerajaan Thailand berhubung perkara tersebut bagi mengelak berlakunya kesesakan di pintu masuk sempadan dan kempen besar-besaran juga akan dilakukan terhadap penggunaannya.

Pelawat yang sering keluar masuk ke negara ini digalakkan memohon MACS dengan hanya membayar RM30 bagi tempoh setahun, tambahnya.

"Pada masa ini MACS telah diperkenalkan kepada rakyat Singapura dan sehingga kini hanya 70,000 sahaja yang telah mendaftar sebagai pengguna MACS," katanya di sini Selasa.

Alias berada di sini kerana melancarkan program Kembara Kayuhan Pecah Lemak Padang Besar-Haadyai membabitkan kakitangan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di Padang Besar, Selasa.

Sebanyak 50 peserta menyertai program itu dengan mengayuh basikal dari pintu sempadan di sini ke Haadyai, Thailand sejauh lebih 60 kilometer bagi mengeratkan hubungan antara kakitangan Kementerian Dalam Negeri di Malaysia dan Thailand.

Selain itu, katanya, sistem biometrik di 63 pintu sempadan juga akan dipertingkatkan bagi mengurangkan tempoh menunggu urusan keluar masuk dari lima minit kepada kurang dua minit bagi setiap seorang.

Alias berkata, sistem itu akan dilakukan dengan meningkatkan kelajuan dari versi 1.0 kepada 1.5 bagi mempercepatkan proses imbasan malah pelawat juga tidak perlu keluar dari kenderaan masing-masing untuk menjalani proses imbasan itu.

"Kita akan memanjangkan kabel alat itu sejauh kira-kira lima meter dari pos bagi memudahkan para pelawat membuat imbasan dalam kereta dan kemudian menyerahkan dokumen perjalanan," katanya.

Sistem itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kerja-kerja memperkemaskan kabel peralatan itu selesai tidak lama lagi.

Menurutnya, kerja-kerja mempertingkatkan sistem biometrik itu masih dijalankan di semua pintu sempadan dan dijangka berkuat kuasa sepenuhnya tidak lama lagi.

Sistem kawalan melibatkan penggunaan teknologi biometrik itu dilaksanakan mulai 1 Jun lalu di 63 pintu masuk di seluruh negara.- BERNAMA

Artikel Lain