suria

Muhyiddin Mahu Jawatankuasa Pemandu Kualiti Di Setiap Sektor Kementerian Pelajaran

GENTING HIGHLANDS: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa pemandu kualiti perlu diwujudkan dalam struktur pengurusan di setiap bahagian dan institusi pendidikan dalam Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kepimpinan sama ada di bahagian, jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah, wajar menjadikan peningkatan kualiti sebagai objektif utama organisasi masing-masing.

Katanya sumber-sumber yang mencukupi perlu disediakan dan piawai kualiti perlu ditetapkan bagi menjelaskan tahap prestasi dan pencapaian yang akan disasarkan.

Berucap pada Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-18 di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini, Muhyiddin berkata kaedah "Total Quality Management" (TQM) boleh dijadikan teras utama pengurusan pendidikan merentasi semua peringkat organisasi dalam melaksanakan dasar-dasar teras Kementerian Pelajaran.

"Sehubungan itu, mempertingkatkan kualiti dalam bidang pendidikan merupakan tanggungjawab semua lapisan dalam organisasi pendidikan," katanya.

Muhyiddin berkata kualiti dan kecemerlangan pendidikan adalah penentu kepada pancapaian matlamat Wawasan 2020, justeru aspek itu perlu diberikan fokus utama dalam program mengilmukan rakyat.

Beliau berkata unsur penting seperti penguasaan ilmu pengetahuan yang tinggi, kemahiran yang relevan, amalan kerja kuat, kreatif, inovatif dan pegangan nilai kerohanian serta disiplin diri yang kukuh merupakan prasyarat kepada kecemerlangan pendidikan.

"Oleh yang demikian, pengurusan dan kepimpinan yang berkualiti perlu dijadikan budaya kerja dan asas utama dalam menguruskan pendidikan," katanya.

Muhyiddin berkata Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkumi transformasi dalam pendidikan dan merupakan satu pendekatan untuk melonjakkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Justeru sebagai ejen pelaksana utama bagi sektor pendidikan, pengurus dan pemimpin pendidikan perlu memainkan peranan lebih efektif supaya agenda pembangunan modal insan yang cemerlang dapat dicapai, katanya.

"Matlamat ini hanya akan dapat dijana melalui kepimpinan yang mantap, mengetahui, memahami, menerajui dan melestarikan hasrat tersebut," kata Timbalan Perdana Menteri.

Tranformasi itu juga, katanya, merupakan satu bentuk perubahan pendidikan untuk memperkukuh lagi sistem pendidikan negara yang telah berkembang supaya selaras dengan kehendak semasa, khususnya dalam melahirkan generasi masa depan yang kritis, inovatif, kreatif dan mempunyai daya saing dan daya harap yang tinggi.

Dalam meningkatkan ketrampilan pengurusan dan kepimpinan pula, Muhyiddin berkata, seseorang pemimpin mestilah mempunyai pandangan yang jauh, berwaspada, berfikir untuk masa panjang, bijak merancang masa depan selain sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan sentiasa mengamalkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berkata bahawa sebagai profesional, pengurus dan pemimpin pendidikan mesti mempunyai kualiti peribadi iaitu memiliki harga diri yang tinggi, hubungan sesama insan yang baik dan berkeupayaan menghasilkan kerja yang berkualiti.

Seminar empat hari itu bertemakan 'Pemimpin Peneraju Transformasi Pendidikan' dan dihadiri 500 pengetua, guru besar dan warga pendidikan dari seluruh negara.

Pada sesi soal jawab kemudiannya, Muhyiddin mempertahankan keputusan kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan tahun depan bagi menggantikan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata ini kerana keputusan itu dibuat bukan hanya berdasarkan pemikiran atau kehendak menteri semata-mata tetapi berdasarkan pendapat dan perbincangan dengan banyak pihak.

"Walaupun menteri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tetapi kuasa itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, dan saya tidak akan mengambil tindakan kalau keputusan itu boleh memudaratkan rakyat atau yang tidak memberikan kebaikan kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain