suria

Infrastruktur Elektrik Di PKLFZ Sepatutnya Dibina Oleh TNB: Saksi

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini yang mendengar perbicaraan kes tiga individu menipu OSK Trustees dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) Selasa diberitahu bahawa infrastruktur elektrik di tapak projek itu sepatutnya dibina oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Saksi keempat pendakwaan, Penolong Pengurus Besar Kejuruteraan LPK, A Murytharan ketika memberi keterangan, berkata pemaju projek itu, Kuala Dimensi Sdn Bhd, sebaliknya telah mencadangkan kepada LPK supaya infrastruktur elektrik yang kosnya dianggarkan RM135 juta dilaksanakan secara turnkey oleh Kuala Dimensi.

Murytharan mengesahkan cadangan daripada Kuala Dimensi menerusi sepucuk surat daripada tertuduh pertama kes itu, bekas Pengurus Projek Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, bertarikh 19 April 2005 yang dialamatkan kepada Pengurus Besar LPK Datin Paduka O.C. Phang setelah dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farhan Read.

Selain daripada surat itu, Kuala Dimensi turut menghantar unjuran teknikal dan kewangan mengenai cadangan infrastruktur elektrik itu kepada LPK, katanya pada perbicaraan kes Law, 53, yang bersama arkitek Bernard Tan Seng Swee, 50, daripada BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi, Stephen Abok, 53, menghadapi 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi untuk dua projek di PKFZ di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.

Abok dan Tan juga mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees antara 31 Julai 2007 dan 8 Okt 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk mambayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi untuk projek sistem bekalan elektrik ke PKFZ yang tidak dilaksanakan.

Sebelum ini, kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan asal menipu Lembaga pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Murytharan berkata bahawa mengikut cadangan itu, skop kerja Kuala Dimensi bagi infrastruktur elektrik itu merangkumi kerja rekabentuk, perbekalan, pembinaan dan pelaksanaan.

Beliau berkata turut dinyatakan rekabentuk terperinci dan kerja tapak akan mengambil masa 12 bulan.

Cadangan pembinaan secara turnkey itu dibuat memandangkan pihak Kuala Dimensi berpendapat sukar untuk meramalkan keperluan beban elektrik bagi projek itu dan agak sukar pihak TNB untuk memperuntukkan perbelanjaan modal bagi keseluruhan infrastruktur elektrik sebelum keperluan beban maksimum tercapai, katanya.

"Bagaimanapun bagi kejayaan PKFZ dan strategi pemasarannya untuk menyediakan lot yang siap digunakan tanpa kerja pengorekan, infrastrukur (elektrik) penuh perlu disediakan dahulu," katanya.

Ketika diminta menerangkan mengapa sukar untuk meramalkan beban bagi infrastruktur elektrik PKFZ, Murytharan berkata ramalan beban bergantung kepada jumlah pelabur yang masuk dan juga masa pelabur masuk, jenis industri yang dilabur, profil dan beban sebenar yang diperlukan setiap pelabur.

Saksi itu juga berkata berdasarkan unjuran dalam cadangan Kuala Dimensi, beban elektrik bagi infrastruktur elektrik dari 2006 hingga 2015 ialah 84,146 kilowatt atau hampir 84 mega watt.

Murytharan berkata antara komponen infrastruktur elektrik yang dicadangkan dibina oleh Kuala Dimensi ialah dua Pencawang Pembahagian Utama (PPU) bagi menurunkan voltan bersaiz 33kilo volt (kV) yang diterima dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Pulau Indah kepada 11 kV sebelum diagihkan kepada komponen-komponen PKFZ.

Apabila ditanya Hakim Asmadi Husin tentang kategori pengguna bagi bekalan elektrik 11kV, beliau berkata 11kV sesuai untuk kegunaan di bangunan seperti hotel atau pejabat yang melebihi lima tingkat manakala elektrik 33kV pula untuk kegunaan industri berat.

Law diwakili peguam bela Tan Hock Chuan, Tan diwakili Datuk V Sithambaram dan Abok diwakili Hisham Teh Poh Teik.

Pada prosiding hari ini, Asmadi memerintahkan seorang wakil daripada firma guaman Skrine & Co yang mengikuti perbicaraan, supaya tidak memantau perjalanan perbicaraan ekoran bantahan daripada peguam ketiga-tiga tertuduh.

Ini kerana Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 April lepas telah mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang menolak permohonan Law untuk menyingkirkan firma guaman Skrine & Co sebagai peguam pemerhati bagi LPK.

"Beliau (wakil Skrine) tidak ada kaitan dengan tertuduh. Beliau membuat catatan. Jika seseorang duduk di belakang tidak apa tapi ini menjadi peguam pemerhati," kata Tan.

Perbicaraan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain