suria

Syarikat Pemaju Perumahan Didenda RM20,000 Kerana Curi Air Milik Syabas

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pemaju perumahan didenda RM20,000 atau dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin kerana kesalahan mencuri air milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), tiga tahun lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Teroka Timur Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, Wan Mahadi Wan Ahmad mengaku melakukan penyambungan paip air tanpa kelulusan Syabas di Lot 4112 Jalan Tanjung Rhu 30/40A, Seksyen 30 Shah Alam di sini, pada 2 Jun 2008.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Syabas mendapat maklumat mengenai kejadian mengambil air yang menyalahi undang-undang di Lot 4112 Jalan Tanjung Rhu, dan berikutan itu sekumpulan pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pergi ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.

Hasil siasatan mendapati terdapat penyambungan paip perkhidmatan dari paip utama Syabas yang dibuat tanpa sebarang kelulusan daripada pemegang lesen sah iaitu Syabas dan mendapati alamat berkenaan di bawah jagaan Teroka Timur Sdn Bhd.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Shariful Azman Mustapa Yahya daripada SPAN manakala syarikat itu diwakili peguam A. Rajan.

Syarikat itu membayar denda berkenaan. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain