suria

SPRM Tubuh Jawatankuasa Eksekutif Transformasi Sebagai Langkah Penambahbaikan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Transformasi bagi menambah baik kualiti operasinya.

SPRM dalam satu kenyataan di sini Ahad, berkata suruhanjaya itu akan dianggotai pegawai pengurusan tertingginya, anggota jawatankuasa dan panel SPRM serta pakar undang-undang.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan langkah proaktif diambil SPRM yang memandang serius cadangan penambahbaikan yang dicadangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab dalam meningkatkan prestasi kualiti, pentadbiran mekanisme penyeliaan, memantau dan melaksanakan reformasi sktruktur dan pengurusan SPRM, keberkesanan siasatan, memantapkan pencapaian fungsi operasi melalui pembangunan modal insan dan memajukan keupayaan siasatan perakaunan forensik.

Selain itu jawatankuasa tersebut juga akan memperhalusi usaha sedia ada SPRM bagi mengesan kelemahan serta mengambil tindakan pemulihan segera, kata SPRM menerusi Unit Komunikasi Korporatnya.

Jawatankuasa itu juga katanya, akan melihat secara keseluruhan struktur dan mengkaji semula semua sistem dan prosedur operasi masa kini.

Jawatankuasa akan diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan dianggotai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdul, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaafar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan dan Anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tan Sri JS Rashpal Singh. Selain itu, Anggota Panel Penilaian Operasi Datuk Zamani Abdul Ghani, Anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Datuk Seri Azman Ujang, dua pakar perundangan iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM Datuk Mohd Nor Abdullah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman serta salah seorang anggota suruhanjaya siasatan diraja.

Di samping itu beberapa pakar dari dalam dan luar negara juga akan dibawa bagi membantu jawatankuasa menilai dan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan.

Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) juga akan terlibat membantu jawatankuasa berkenaan, kata kenyataan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain